Rabu, 30 Jun 2010

Kemaman

Kemaman merupakan daerah di negeri Terengganu, Malaysia. Ia berada pada kedudukan koordinat 4° 13' 60" Utara dan 103° 27' 0" Timur, pusat daerah Kemaman ialah Chukai. Keluasan daerah Kemaman ialah 8,000 batu persegi (254,000 hektar), ketiga selepas Hulu Terengganu dan Dungun. Kemaman mengadap Laut China Selatan.

Daerah Kemaman terbahagi kepada 11 mukim dengan pusat pentadbiran dan ekonominya tertumpu di bandar Chukai.

Sumber: wikipedia.org

Dungun

Dungun merupakan sebuah daerah dalam negeri Terengganu. Namanya dipercayai berasal daripada nama pokok Dungun, sejenis pokok yang banyak tumbuh di kawasan paya air tawar. Dungun dipercayai telah dibuka oleh pendatang dari Pagar Ruyung, Sumatera, berdasarkan:

    * Kebanyakan orang Dungun pada suatu masa dahulu berasal dari Kepulauan Indonesia
    * Nama kampung-kampung di Dungun juga terdapat di Indonesia, umpamanya Kampung Binjai, Kampung Bemban, Kampung Gombang dan sebagainya.

Sumber: wikipedia.org

Marang

Marang terletak di negeri Terengganu, Malaysia. Marang menjadi tempat perhentian untuk menyeberang ke Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Gemia, dan lain-lain. Pulau Kapas merupakan pulau yang indah, menarik pengunjung dari serata dunia.

Sumber: wikipedia.org

Hulu Terengganu

Hulu Terengganu atau Ulu Terengganu merupakan sebuah daerah yang agak terpencil di negeri Terengganu  namun mula dikenali setelah adanya projek hidroelektrik Kenyir. Kini tasik buatan manusia itu amat dikenali sebagai destinasi perlancongan.

Namun begitu kelahiran nama Terengganu Darul Iman itu sendiri ada kaitan yang sangat rapat dengan Hulu Terengganu. Ini kerana Batu Bersurat Terengganu yang menyatakan daerah ini yang mula-mula menerima Islam di Terengganu malah di Malaysia. Ia dijumpai di Kg. Buluh iaitu sebuah kampung di Hulu Terengganu.

Kuala Berang merupakan pekan paling dikenali di Hulu Terengganu. Masyarakat di sini lebih bertumpu di sini dalam urusan harian kerana pusat pemerintahan daerah di jalankan di sini. segala macam pembangunan sudah diperlihatkan oleh Kuala Berang untuk menggambarkan Hulu Terengganu tidak sama seperti hulu di tempat lain kerana lazimnya hulu itu di ketahui akan terpencilnya sesuatu kawasan itu. Pada masa kini rakyat Hulu Terengganu telah menjadi perwakilan diperingkat persekutuan Malaysia dengan memegang jawatan Timbalan Menteri pelajaran iaitu Datuk Razali ismail Ahli parlimen Kuala Terengganu berasal dari Kuala Berang dalam kawasan Hulu Terengganu.

Kebanyakan masyarakat di sini adalah petani. Namun kini ramai yang beralih arah kepada menjadi peniaga.

Sumber: wikipedia.org

Besut

Besut merupakan daerah yang terletak di utara negeri Terengganu. Ia bersempadan dengan negeri Kelantan  di utara, daerah Setiu di selatan dan Laut China Selatan di timur. Pantainya bertanah beris dan menghadap pulau yang terkenal seperti Pulau Kapas, Pulau Perhentian, dan Pulau Redang. Ibu daerah Besut ialah Jerteh. Penduduk Besut bertutur dalam bahasa Melayu loghat Kelantan.

Bukti bertulis yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit, catatan Munsyi Abdullah dalam Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan dari buku Tuffatul Nafis karangan Raja Ali Haji.

Oleh kerana tidak terdapat bukti-bukti bertulis mengenai sejarah awal Daerah Besut, maka terdapat berbagai-bagai cerita yang menerangkan asal usul Besut.

Salah satu cerita mengenai asal nama Besut kononnya berpunca dari zaman dahulu dimana dikatakan daerah ini merupakan salah sebuah kawasan dibawah kuasa Kerajaan Siam . Mengikut salah satu cerita nama Besut timbul dari perkataan BE yang dalam bahasa Siam bermakna DAERAH manakala SUT menggambarkan satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Ini mungkin betul berdasarkan faktor betapa jauhnya Bangkok yang merupakan Pusat Pentadbiran Siam dengan daerah ini.

Satu cerita mengenai asal usul nama Besut ialah berdasarkan cerita kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar Raja Sang Nyanya. Beliau adalah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang tinggal di kawasan ini. Selepas kematiannya barulah kawasan ini didiami orang dan salah satu kumpulan penduduk terdiri dari orang Pangan. Kumpulan mereka diketuai oleh seorang yang bernama Besut jadi dipercayai nama Besut adalah berasal dari nama ketua orang pangan tersebut.

Kesemua cerita yang mengaitkan asal usul nama daerah ini memang tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti yang bertulis. Bukti yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit sebagaimana catatan Munsyi Abdullah dalam Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan dari buku Tuffatul Nafis karangan Raja Ali Haji.

Dalam catatan ini ada diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari Pattani ( Selatan Siam ) telah datang ke Besut dengan diketuai oleh seorang yang bernama Cik Latif. Adalah dipercayai Cik Latif berasal dari Sumatera dan telah biasa berdagang di PATTANI. Dengan menawarkan segantang mata kail dikatakan Cik Latif berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari daerah ini ke Hulu Besut. Beliau dan orang-orangnya telah berjaya membina sebuah perkampongan di tebing sungai Besut yang diberi nama Palembang mungkin mengambil nama sempena nama tempat asal beliau di Sumatera. Palembang merupakan pusat pentakbiran yang pertama di Besut sebelum Kampung Raja.

Bila Cik Latif meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya bernama Cik Kamat. Semasa pemerintahan Cik Kamat Daerah Besut berada dalama keadaan huru-hara kerana ancaman dari perompak lanun yang bermaharajalela di pulau-pulau yang berada disekitar laut daerah ini. Dalam buku pelayaran Pelayaran Abdullah ke Kelantan, Abdullah Munsyi ada menceritakan kegiatan lanun-lanun di kawasan ini. Dikatakan lanun-lanun ini diketuai oleh Panglima Ebeh dan Panglima Garang.

Untuk menghadapi ancaman lanun-lanun ini, Cik Kamat tidak berdaya untuk menentangnya dan beliau telah membuat keputusan meminta bantuan dari Terengganu. Permohonan beliau dipersetujui oleh Sultan Terengganu masa itu iaitu Sultan Mansur 1, yang dikenali sebagai Marhum Berjanggut. Beliau memerintah Terengganu dari 1726-1793. Sultan Mansur I telah menghantar angkatan tentera yang diketuai oleh Putera Baginda iaitu Tengku Kadir.

Tengku Kadir dan tentera di bawah pimpinannya berjaya mengalahkan lanun-lanun tersebut dan memaksa lanun-lanun tersebut berundur ke Pulau Perhentian.

Sebagai penghargaan diatas kejayaan beliau mengalahkan lanun-lanun berkenaan, Tengku Kadir telah diberi kuasa oleh Sultan Terengganu untuk memerintah Besut. Cik Kamat pula dilantik sebagai Orang Besar Besut serta mendapat hak di atas Pulau Rhu.

Sumber: wikipedia.org

Hutan Lipur Lata Belantan

Hutan Lipur Lata Belatan ialah sebuah hutan lipur yang terletak di Hutan Simpan Gunung Tebu, daerah Besut, Terengganu. Lokasinya 40 kilometer dari bandar Besut dan lebih kurang 130 kilometer dari Kuala Terengganu.

Hutan Lipur Lata Belatan mempunyai jenis hutan dipterokarp bukit serta hutan konifer di kemuncak Gunung Tebu. Pelbagai jenis spesies flora dan fauna yang jarang dilihat terdapat disini.

Bagi pengunjung yang inginkan kegiatan mencabar, satu denai hutan disediakan menuju ke puncak Gunung Tebu sesuai untuk memulakan pendakian dari sini. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan disini seperti berkhemah, bersiar-siar dan aktiviti perjalanan jauh. Selain itu, pelbagai kemudahan lain yang disediakan termasuklah kemudahan asas seperti kemudahan elektrik, gerai, dan astaka.

Muzium Negeri

Ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Enakmen Bil. 9 Tahun 1976 dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976, berkuatkuasa pada 1 November 1977. Bermula dengan sejarah jumpaan Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed Hussein Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902.

Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Pada 3 Februari 1974, sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk.

Pentadbiran Muzium Negeri terletak di bawah kuasa Bahagian Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan usaha pengumpulan bahan bersejarah telah dipergiatkan pada tahun 1979. Pada tahun 1981, seorang kurator telah dilantik untuk menerajui Muzium Negeri. Manakala menjelang tahun 1985, jawatan ini telah ditingkatkan kepada jawatan Pengarah.

WAKTU OPERASI GALERI MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Hari Sabtu hingga Khamis
- bermula jam 9.00 pagi - 5.00 petang

Hari Jumaat
- bermula jam 9.00 pagi - 12.00 tengahari
- dibuka semula pada jam 3.00 petang - 5.00 petang

Hari Kelepasan Am
- bermula jam 9.00 pagi - 5.00 petang

Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha
- ditutup pada Hari Raya Pertama & Kedua sahaja

PERKHIDMATAN TIKET MASUK GALERI MUZIUM NEGERI TERENGGANU
Warganegara Malaysia
Dewasa - RM 5.00
Kanak-kanak berumur 7 hingga 15 tahun - RM 2.00
Kanak-kanak sekolah berpakaian seragam - RM 1.00
Kanak-kanak di bawah umur 7 tahun - PERCUMA
                      
Bukan warganegara
Dewasa - RM 15.00
Kanak - kanak - RM 10.00

Julai Muzium NegeriTerengganu
http://museum.terengganu.gov.my